Merdeka 2025: Maxim E-hailing Prihatin Terhadap Masyarakat dengan Menganjurkan Derma Darah Sempena Hari Kebangsaan di Sabah

Merdeka 2025: Maxim E-hailing Prihatin Terhadap Masyarakat dengan Menganjurkan Derma Darah Sempena Hari Kebangsaan di Sabah

Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68, Maxim E-Hailing meneruskan inisiatif komuniti tahunan mereka melalui program Maxim’s E-Hailing Care di tiga bandar utama Sabah: Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Ini merupakan tahun kelima berturut-turut Maxim menyertai sambutan Hari Kebangsaan, sekaligus menunjukkan komitmen padu terhadap semangat patriotisme, pembinaan komuniti dan budaya memberi semula kepada masyarakat.

Tema tahun ini menumpukan kepada hubungan erat bersama komuniti, sejajar dengan mesej perpaduan nasional serta penghargaan terhadap kemerdekaan dan keharmonian berbilang kaum di Malaysia.

“Negara kita dibina atas asas perpaduan, daya tahan dan semangat kemasyarakatan. Itulah yang cuba kami tampilkan melalui aktiviti Hari Kebangsaan Maxim. Kami percaya amalan memberi semula bukan sekadar tanggungjawab syarikat, tetapi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Aktiviti ini bukan sekadar acara ia adalah luahan terima kasih kami kepada rakyat, terutamanya di Sabah, yang terus menyokong Maxim,” kata Nazrin Muiz, Pengurus Pembangunan Sabah.

Perarakan Merdeka di Kota Kinabalu

Di tengah-tengah ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu, Maxim dengan bangga menyertai Perarakan Merdeka yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah pada 31 Ogos 2025. Acara ini menghimpunkan pelbagai kontijen termasuk agensi kerajaan, NGO, dan syarikat korporat.

Maxim tampil sebagai Kontijen ke-7 daripada 50, menampilkan lebih daripada 10 kenderaan e-hailing yang dipandu oleh pemandu tempatan. Setiap kenderaan dihiasi dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah, membawa tema kemerdekaan, keharmonian dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia. Laluan perarakan bermula dari Jalan Mentari hingga ke Centre Point Sabah, disaksikan oleh ribuan orang awam yang turut mengibarkan bendera sebagai tanda solidariti.

Hadiah Kehidupan: Kempen Derma Darah di Sandakan

Di Sandakan, Maxim tampil menyahut seruan daripada Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Duchess of Kent Sandakan yang memerlukan bekalan darah tambahan sempena Hari Kebangsaan.

Kempen Hari Derma Darah Bersama Maxim yang berlangsung pada 31 Ogos 2025 di pejabat Maxim Sandakan menyasarkan 75 penderma darah. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan 75 orang peserta, terdiri daripada 30 pemandu e-hailing, 5 kakitangan Maxim dan orang awam.

“Kami berterima kasih kepada Maxim kerana sudi menghulurkan kerjasama ini. Satu beg darah boleh menyelamatkan tiga nyawa, dan usaha ini sangat bermakna terutama dalam suasana sambutan kebangsaan di mana keperluan meningkat. Ini adalah satu bentuk patriotisme sejati membantu rakyat Malaysia yang memerlukan,” kata wakil dari Jabatan Perubatan Transfusi.

Kongsi Kegembiraan: Konvoi Tawau dan Lawatan ke Rumah Orang Tua

Di Tawau, Maxim menganjurkan Konvoi Hari Kebangsaan, di mana pemandu-pemandu Maxim melalui kawasan tumpuan utama seperti Fajar, Sabindo dan Eastern Plaza, sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai simbolik kebebasan dan perpaduan negara.

Konvoi ini berakhir di Rumah Orang Tua Tawau (Air Panas), di mana pasukan Maxim meluangkan masa bersama para warga emas, menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, sabun, syampu dan makanan kering. Semua sumbangan dikemas rapi dalam beg bertema patriotik yang bersih dan kemas.

Para penghuni rumah turut menyertai beberapa aktiviti seperti berkongsi kisah lama tentang pengalaman mereka semasa awal kemerdekaan negara. Cerita-cerita ini mengimbau kenangan lama dan menjadi pengajaran berharga buat generasi baharu. Majlis ini mengingatkan semua yang hadir bahawa erti kemerdekaan bukan sahaja kebebasan, tetapi juga keprihatinan dan kasih sayang sesama manusia.

Maxim tetap komited untuk menjadi lebih daripada sekadar perkhidmatan pengangkutan. Sokongan terhadap komuniti adalah teras kepada misinya, dan syarikat ini percaya bahawa pertumbuhan yang mampan hanya dapat dicapai apabila perniagaan dan komuniti berkembang bersama-sama.

Faydalı

Kategoriler